GEORGE TOWN : Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan, bukan sahaja nama George Town perlu ditukar sekiranya ada pihak-pihak yang mahu warisan serta legasi penjajah di negara ini dihapuskan.
Hal ini demikian kerana, kata Kon Yeow, terdapat juga nama beberapa tempat di negeri lain yang turut mempunyai kaitan dengan legasi penjajah.
“Lain-lain nama (pun) ada warisan legasi zaman penjajah dan telah banyak kali kita sudah jawab berhubung isu itu (George Town ditukar kepada Tanjung Penaga).
“Kalau mahu tukar semua nama atau warisan penjajah dihapuskan atas bumi Malaysia, ini satu keputusan besar.
“Bukan sekadar George Town sahaja, banyak perkara. Bukan sahaja warisan British, malah ada juga warisan Portugal, Belanda, Hindu dan lain-lain di bumi Malaysia. Ada juga banyak warisan bangsa lain selain bangsa tempatan,”katanya selepas merasmikan Festival George Town 2024, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri agar mengembalikan nama asal George Town, iaitu Tanjung Penaga, yang menurut mereka, nama itu melambangkan ‘identiti Malaysia’.
Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Fawwaz Mat Jan berkata, nama asal sesuatu tempat yang melambangkan identiti negara itu wajib diketengahkan, bukan ‘identiti yang diberikan penjajah’.
Beliau berkata demikian dalam kenyataannya susulan pengeluaran klip video promosi George Town Festival 2024 (GTF) yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai yang mengulas mengenai isu yang sama berkata, tidak timbul sebarang isu berkaitan penukaran nama George Town kepada Tanjung Penaga.
Ini kerana, Hon Wai berkata, nama Tanjong telah diangkat ke Dewan Rakyat dan dinamakan sebagai kawasan Parlimen sejak sekian lama.-UTUSAN










