Tak munasabah minta GTWHI dibubarkan - Kon Yeow

Tak munasabah minta GTWHI dibubarkan – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika melihat karya seni bertajuk cermin ajaib yang dipamerkan sempena Festival Georgetown 2024, di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cadangan wakil pembangkang agar kerajaan negeri membubarkan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) susulan kontroversi berkaitan video promosi Festival George Town 2024 adalah satu permintaan yang tidak munasabah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, GTWHI perlu dinilai dari segi peranan agensi itu untuk memastikan George Town kekal sebagai tapak warisan dunia.

Katanya, GTWHI telah wujud selama 16 tahun dan ia diberi pelbagai penganugerahan serta pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan World Heritage.

“Saya percaya video itu dipaparkan sejak lebih satu bulan yang lalu dan ia mengandungi isi kandungan yang bukannya seluruh apa yang kita lihat hari ini, ia ada 80 program.

“Kalau cuma kerana satu video ini mahu GTWHI dibubarkan, saya kata ini satu permintaan yang tidak munasabah langsung,” katanya selepas merasmikan Festival George Town 2024, di sini hari ini.

Terdahulu, video klip promosi festival berkenaan yang bertemakan ‘Here and Now’ dikritik kerana didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja.

Ekoran kontroversi yang timbul, pasukan George Town Festival 2024 telah menurunkan semua siaran yang berkaitan dengan video klip promosi sambutan George Town Festival 2024.

Susulan itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Izhar Shah Arif Shah mencadangkan GTWHI, yang merupakan penganjur festival itu, dibubarkan oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pihak yang membuat permintaan agar GTWHI ditutup dan dibubarkan mungkin tidak pernah mengikuti program-program yang telah dijalankan oleh agensi itu sebelum ini.

“Kalau kerana satu (video), dikatakan kesilapan kita sudah arahkan penganjur untuk lakukan apa yang terbaik,” katanya yang memberitahu, sejak dahulu lagi program-program yang diatur sepanjang Festival George Town berlangsung melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

“Selain penyertaan peringkat antarabangsa, kita ada penyertaan daripada sembilan kumpulan terdiri daripada kaum Melayu melibatkan 81 orang, ada pelbagai bentuk persembahan, bengkel dan lain-lain lagi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim esok, beberapa acara hiburan yang dirancang untuk diadakan di Festival George Town akan ditangguh.

“Acara yang ditangguhkan ini akan diadakan pada hari lain bagi menghormati istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong esok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×