Dua lelaki ditahan dengan 54kg ganja

Dua lelaki ditahan dengan 54kg ganja

A. ANBALAGAN (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kegiatan dua lelaki lelaki tempatan mengedar ganja sejak enam bulan lalu bagi pasaran Lembah Klang terbongkar dalam serbuan pihak polis di tepi jalan di kawasan Bandar Kinrara, Puchong, di sini, 10 Julai lalu.

Serbuan dilakukan pukul 10.15 malam itu turut menemukan dadah jenis ganja seberat 54 kilogram (kg) yang disimpan di dalam sebuah kereta dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan berkata, kedua-dua lelaki tempatan yang ditahan berusia 30 dan 25 tahun disyaki berperanan sebagai pengedar dan penghantar.

Jelasnya, suspek ditahan ketika berada di dalam kenderaan bersama dengan ketulan mampat dipercayai ganja.

“Pemeriksaan dalam kenderaan berjaya merampas tiga kotak di dalamnya mengandungi 51 ketulan mampat seberat kira-kira 54 kg bernilai kira-kira RM168,020,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, semakan terhadap suspek pertama yang juga pemandu peribadi didapati tiada rekod lampau.

“Semakan suspek kedua yang bekerja sebagai pembantu kedai makan miliki tujuh rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik.

“Hasil pemeriksaan air kencing pada kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” ujarnya.

Jelas beliau, dadah tersebut dipercayai diperoleh daripada negara jiran sebelum diedarkan di Lembah Klang.

Menurutnya, mereka telah dikesan bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan dadah yang dirampas ini dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 108,438 orang penagih dadah.

“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dan telah disambung reman lagi hari lagi sehingga 22 Julai,” katanya.

Jelas Anbalagan, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN