KUALA LUMPUR: Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) antara langkah diambil Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan mental berhubung pelaporan selamat dan bertanggungjawab media mengenai tingkah laku bunuh diri.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, penulisan berita oleh pengamal-pengamal media di negara ini mesti mengikut garis panduan yang ditetapkan melalui MySAVE.
Katanya, terdapat sesetengah agensi media yang melaporkan berita tentang bunuh diri, namun tidak bersandarkan kepada etika, amalan terbaik dan garis panduan sehingga mendorong masyarakat berfikir membunuh diri.
Jelasnya, pelaporan bunuh diri yang tidak selamat terutama pemaparan kaedah bunuh diri yang terperinci boleh menyebabkan berlaku gejala-gejala peniruan bunuh diri.
“Kadang-kadang ada penulisan media yang memberikan idea (risiko bunuh diri) dan di situlah menyebabkan berlaku maklumat atau berita berterusan dan berpanjangan.
“Jika penulisan media yang baik, akan dapat membantu pesakit mental mendapatkan idea.
“Jadi, program MySAVE ini menggalakkan rakan media menulis laporan yang teratur untuk mengelakkan tingkah laku bunuh dan memberi idea kepada pesakit yang ada masalah mental,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Nelson W. Angang berhubung langkah diambil kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan kesihatan mental di seluruh negara.
Lukanisman merasmikan MySAVE di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) pada 31 Julai lalu untuk memberi pendedahan kepada petugas media tentang pelaporan selamat dan bertanggungjawab berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Rekod daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan, kes bunuh diri meningkat sebanyak 80 peratus bersamaan 1,142 kes pada 2021 berbanding 631 kes tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pada 2022, terdapat sedikit pengurangan kes bunuh diri iaitu sebanyak 981 kes.
Namun, trend itu masih membimbangkan kerana terdapat peningkatan dua kali ganda dalam prevalen kes bunuh diri dalam kalangan mereka yang berumur antara 15 hingga 18 tahun iaitu daripada tiga peratus kepada enam peratus.
Dalam pada itu, kata Lukanisman, kerajaan meningkatkan akses perkhidmatan rawatan kesihatan mental di fasiliti kesihatan primer, perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS), memperluas perkhidmatan kaunseling di peringkat kesihatan primer melalui penempatan 200 kaunselor secara kontrak.
“Kerajaan juga menyediakan khidmat talian bantuan krisis kesihatan mental atau talian HEAL 15555, MyMinda dalam aplikasi MySejahtera, kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. –UTUSAN











