Denggi: 69 maut, kes naik berbanding tahun lalu

Denggi: 69 maut, kes naik berbanding tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat demam denggi setakat Julai tahun ini meningkat kepada 69 orang berbanding 47 orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan Minggu Epidemiologi Ke-29 dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan juga meningkat mendadak iaitu sebanyak 83,131 kes berbanding 66,224 kes pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bilangan lokaliti titik panas (hotspot) yang dilaporkan adalah sebanyak 94 lokaliti berbanding 100 pada minggu sebelumnya.

“Daripada 94 lokaliti yang dilaporkan, 71 daripadanya di Selangor, Kuala Lumpur – Putrajaya (enam), Perak (enam), Negeri Sembilan (empat), Kedah (empat), Sabah (dua) dan Kelantan (satu),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

                                      Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan

Menurut Dr. Muhammad Radzi, bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi Ke-29.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 58 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,505 sampel darah, lapan urin dan tiga sampel serebrospinal dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negative,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pencegahan demam denggi memerlukan tindakan bersama termasuk menjalankan gotong-royong secara berkala.

“Semua rakyat Malaysia, sama ada dari agensi kerajaan, swasta, komuniti atau badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk bersama-sama menjadikan ‘One Hour Malaysia Clean Up’ sebagai aktiviti bulanan.

“Mekanisme pelaksanaannya adalah pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan dan dilaksanakan sekurang-kurangnya sejam bagi satu sesi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN