Kes denggi meningkat 34.8 peratus, Selangor, KL, Putrajaya tertinggi

Kes denggi meningkat 34.8 peratus, Selangor, KL, Putrajaya tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kes denggi di seluruh negara mencatatkan peningkatan 34.8 peratus kepada 42,848 kes setakat semalam berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah kematian akibat wabak itu turut meningkat sebanyak 78.9 peratus dengan 34 kematian direkodkan berbanding 19 kematian dalam tempoh sama pada 2025.

Katanya, analisis epidemiologi mendapati hampir dua pertiga atau 63.5 peratus daripada keseluruhan kes demam denggi di negara ini tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selangor merekodkan sebanyak 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatatkan 7,909 kes, meningkat 83.8 peratus berbanding tempoh sama.

“Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Keadaan ini menunjukkan Lembah Klang kekal sebagai kawasan tumpuan utama penularan demam denggi dan memerlukan pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu.

“Walaupun beberapa negeri menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, keadaan ini tidak seharusnya menimbulkan rasa selesa,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menggesa semua pihak bersama-sama memperkukuh usaha pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Orang ramai juga diminta melaksanakan aktiviti pembersihan secara berkala dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi.

“KKM akan terus memantau situasi demam denggi secara rapi dan mempergiatkan langkah pencegahan serta kawalan bagi mengurangkan penularan penyakit, mencegah komplikasi dan kematian serta melindungi kesihatan rakyat,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN