PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negara serta diramal berterusan sehingga September ini menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik secara mendadak.
Ini kerana cuaca panas melampau menyebabkan penggunaan pendingin hawa dan kipas secara berterusan untuk mengatasi suhu panas yang menyaksikan bil elektrik melonjak, sekali gus membebankan ramai pengguna.
Seorang suri rumah, Salamiah Ali, 45, berkata, bil elektrik rumahnya meningkat hampir dua kali ganda sejak cuaca panas melanda.
Katanya, dia tiada pilihan selain perlu meningkatkan penggunaan kipas dan pendingin hawa bagi mengurangkan suhu panas di dalam rumah.
“Saya bimbang jika anak-anak terkena strok haba berikutan cuaca panas ketika ini. Disebabkan itu, kami sekeluarga terpaksa meningkatkan penggunaan kipas dan pendingin hawa di rumah.
“Bila penggunaan elektrik meningkat, sudah tentu bil juga melonjak sehingga dua kali ganda dan tipulah jika rasa tidak terbeban,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang pegawai bank, Ahmad Firdaus, 30, turut berkongsi pandangan serupa yang mana sebelum ini dia tidak menggunakan pendingin hawa kerana bimbang bil elektrik meningkat dan menyebabkan perbelanjaan bulanan bertambah.
“Pada masa ini, penggunaan tinggi elektrik memang sukar dielakkan. Saya perlu menggunakan pendingin hawa dan kipas untuk keselesaan serta kesihatan. Tetapi, peningkatan bil elektrik yang mendadak sudah tentu membimbangkan.
“Siapa yang tidak ingin berjimat cermat, namun kami tidak dapat elak peningkatan bil elektrik yang berlaku. Ini semua demi keselesaan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga pasar malam, Fadhli Ahmad, 33, berkata, dia membeli pendingin hawa bagi keselesaan keluarganya.
Jelasnya, suhu terasa lebih panas pada waktu malam berbanding siang dan keadaan itu mencetuskan rasa tidak selesa.
Sehubungan itu, dia mencadangkan kerajaan mengambil langkah dalam membantu rakyat berhubung masalah yang berlaku ketika ini membabitkan peningkatan bil elektrik.
“Saya rasa, adalah lebih baik jika kerajaan dapat memberikan rebat pengurangan bil elektrik ketika ini memandangkan memang bil meningkat mendadak akibat penggunaan tinggi. Kalau ada rebat ini, beban yang ditanggung dapat dikurangkan,” katanya.
Pandangan ini turut disokong oleh seorang guru sekolah menengah, Salasia Mustafa, 42, yang menyatakan gelombang cuaca panas berpanjangan menyebabkan kos perbelanjaan bulanannya turut meningkat.
“Saya rasa kerajaan perlu mengambil langkah untuk membantu rakyat dalam situasi ini. Satu cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah pemberian rebat pengurangan bil elektrik.
“Jika dilaksanakan rebat tersebut mungkin meringankan beban rakyat, terutama bagi golongan berpendapatan rendah atau B40 yang terpaksa menanggung kos tambahan akibat cuaca panas ini,” katanya. – UTUSAN










