PETALING JAYA: Corak Malaysia, sebuah inisiatif oleh Ruzzgahara, menyertai Perhimpunan Agung ke-65 Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) yang berlangsung di Geneva, Switzerland, dari 9 Julai sehingga hari ini.
Bersama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC), Corak Malaysia turut mengadakan pameran bertemakan “ASEAN Kreatif dan Mampan”.
Menurut Ketua Projek Corak Malaysia, Nik Faiz Nik Amin, program yang dikendalikan oleh oleh ASEAN Working Group on lntellectual Property Cooperation (AWGIPC) itu dipamerkan di lobi ibu pejabat WIPO sepanjang perhimpunan agung berlangsung.
“Pameran tersebut menampilkan motif-motif unik Corak Malaysia yang telah didaftarkan di bawah MyIPO dan dijelmakan menjadi pelbagai rekaan kraf tangan.
“Kami juga dalam usaha memperkukuhkan identiti Malaysia dan meningkatkannya melalui aktiviti komersialisasi menerusi kerjasama dengan WIPO di bawah ‘Projek Harta Intelek Pembangunan Komuniti,’ seperti yang disarankan oleh MyIPO,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tanbahnya, antara projek lain turut melibatkan kerjasama dengan MCC dalam mendaftarkan petunjuk geografi (GI) bagi tujuh elemen warisan kebudayaan yang telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Sijil GI ini dapat menjamin keaslian dan kualiti unik produk yang berkait rapat dengan tempat asal usulnya,” tambahnya.
Katanya penyertaan Corak Malaysia mencerminkan komitmen kukuh dalam usaha untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia sambil menggalakkan amalan lestari dalam industri kreatif ASEAN. –UTUSAN











