NIBONG TEBAL : Memasuki hari kesepuluh berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin dilihat mula melakukan ‘pecutan terakhir’ dengan menggiatkan usaha memutihkan sokongan di kawasan kelabu.
Joohari atau lebih mesra dipanggil sebagai Cikgu Jo berkata, setakat ini, kira-kira 60 peratus kawasan kelabu di Sungai Bakap telah berjaya ‘ditembusi’ menerusi kempen dari rumah ke rumah.
Menurut beliau, usaha memutihkan kawasan kelabu itu akan diteruskan sehingga kempen memasuki hari terakhir nanti.
“Saya telah memasuki kawasan-kawasan yang boleh dikatakan sebagai antara kawasan kelabu dan saya dapati, penerimaan pengundi amat baik.
“Setakat ini, 60 peratus daripada kawasan kelabu telah saya jelajahi dan tidak ada yang menolak saya secara terang-terangan.
“Saya masuk mendekati serta memperkenalkan diri sebagai calon PH dan mereka (pengundi di kawasan kelabu) tetap menerima kedatangan saya dengan baik,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Buaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Joohari memberitahu, selain memasuki kawasan yang dikategorikan sebagai kelabu, beliau juga mengambil pendekatan untuk mendengar masalah pengundi serta cuba memahami apa yang berlaku di kawasan setempat.
“Memang pelbagai masalah yang penduduk beritahu kepada saya. Saya cuba tapis maklumat dan maklumkan kepada pihak yang berkenaan. Antara masalah yang sering diadukan ialah berkaitan air dan masalah kenaikan harga barangan pada masa ini,” katanya.
Tambah Joohari, gabungan kempen daripada UMNO yang turut menganggotai Kerajaan Perpaduan membantu melicinkan pergerakan jentera PH.
“Kekuatan gabungan antara jentera PH dan UMNO membentuk satu kumpulan yang bersatu dan memudahkan saya untuk berkempen menembusi kawasan-kawasan kelabu dan hitam,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dengan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Abidin Ismail.-UTUSAN










