DALAM persaingan politik, keupayaan sesebuah parti dan pemimpinnya menguasai komunikasi strategik sering menjadi penentu kejayaan, khususnya ketika menghadapi pilihan raya.
Komunikasi strategik bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi melibatkan perancangan, pelaksanaan dan pengurusan komunikasi secara sistematik untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sehubungan itu, pemimpin politik perlu menguasai kemahiran komunikasi yang sesuai dengan perubahan persekitaran dan kehendak khalayak.
Pendekatan yang digunakan tidak boleh bersifat statik, sebaliknya perlu berubah mengikut situasi, sasaran dan isu semasa.
Komunikasi yang berkesan ialah yang mempunyai tujuan jelas serta mampu mempengaruhi pemikiran, sikap dan tindakan khalayak.
Menurut C. Botan (1997), sesuatu komunikasi hanya dianggap strategik apabila selaras dengan matlamat dan sasaran organisasi.
Oleh itu, setiap parti politik wajar mempunyai pasukan komunikasi yang bukan sahaja merancang dan menyelaras aktiviti komunikasi, malah menilai keberkesanan setiap kempen melalui audit komunikasi.
Pasukan ini juga perlu berperanan sebagai penasihat kepada kepimpinan parti supaya setiap mesej yang disampaikan konsisten, tepat dan memberi impak kepada masyarakat.
Hakikatnya, kejayaan sesebuah parti dalam kempen pilihan raya banyak bergantung pada keberkesanan komunikasi strategik yang diamalkan.
Komunikasi yang dirancang secara teliti mampu meningkatkan pengetahuan rakyat, membentuk sikap positif dan akhirnya mempengaruhi tingkah laku pengundi ketika membuat pilihan di peti undi.
Kempen politik merupakan medium utama untuk menjelaskan dasar, manifesto, pencapaian dan hala tuju parti kepada rakyat. Oleh itu, pemimpin di semua peringkat, termasuk penceramah dan jentera akar umbi, perlu menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan.
Mereka juga perlu memahami pelbagai teknik komunikasi seperti pendekatan rakyat biasa, rayuan ikut arus, pemilihan fakta secara selektif, testimoni dan ungkapan indah tanpa perincian bagi menyampaikan mesej secara lebih berkesan, dalam masa sama tidak mengabaikan etika politik.
Selain komunikasi bersemuka, parti politik perlu memanfaatkan media sosial sebagai saluran utama untuk berinteraksi dengan rakyat.
Platform digital membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas kepada pelbagai kelompok masyarakat.
Namun, penggunaan media sosial menuntut kebijaksanaan kerana kenyataan yang tidak tepat, emosional atau mengelirukan boleh mencetuskan persepsi negatif serta menjejaskan imej parti dan pemimpinnya.
Dalam era masyarakat bermaklumat, rakyat semakin kritikal menilai setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin politik. Oleh itu, setiap maklumat yang disampaikan mestilah sahih, tepat, konsisten dan dikeluarkan pada masa sesuai.
Parti politik juga perlu mengelakkan kenyataan yang bercanggah, berubah-ubah atau bersifat mengelirukan kerana keadaan ini boleh menghakis keyakinan rakyat.
Pada masa sama, pemimpin politik perlu bertanggungjawab mengawal penyebaran maklumat sensitif, khususnya yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Setiap kenyataan yang dikeluarkan hendaklah mengambil kira kepentingan awam dan tidak menimbulkan keresahan atau salah faham dalam masyarakat.
Komunikasi strategik merupakan aset penting dalam politik moden. Kejayaan sesebuah parti bukan hanya bergantung pada dasar atau manifesto yang ditawarkan tetapi juga pada keupayaannya menyampaikan mesej secara jelas, berkesan dan berintegriti.
Dalam dunia yang dipacu teknologi maklumat, komunikasi yang bijaksana mampu membina kepercayaan rakyat, memperkukuh imej parti dan meningkatkan peluang kejayaan dalam pilihan raya. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas








