Calon DUN Nenggiri masih terbuka

Calon DUN Nenggiri masih terbuka

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas menyifatkan penentuan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri masih terbuka untuk rundingan di sebalik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa kerusi berkenaan adalah milik mereka.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, rundingan calon yang bakal dikete­ngahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi berkenaan sama ada Pas atau Bersatu masih terbuka antara dua parti itu.

Katanya, kerusi DUN Nenggiri sebelum ini diberikan kepada Bersatu, namun calon mereka bertanding atas tiket Pas di Kelantan.

“Ia masih terbuka pada rundingan mengenai calon yang bakal diketengahkan itu. Kita kena melihat kepada kekuatan sama ada Pas atau Bersatu yang lebih terjamin untuk mencapai kemenangan dalam PRK tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Bersatu Kelantan menegaskan kerusi DUN Nenggiri yang kosong selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan sebagai ahli adalah milik parti ber­kenaan.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Noor dilaporkan berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dijadikan polemik kerana ia sudah diputuskan oleh pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Katanya, perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia sudah selesai dan Bersatu akan bertanding untuk mempertahan kerusi tersebut pada PRK 17 Ogos ini.

Kamarudin juga memberitahu, Bersatu Kelantan sudah menghantar senarai nama calon yang akan bertanding pada PRK itu nanti.

Media sebelum ini melaporkan, Pas Gua Musang berharap calonnya diberi laluan bertan­ding PRK DUN Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK tersebut masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN