Buruh mengaku tidak bersalah pecah rumah, cabul wanita

Buruh mengaku tidak bersalah pecah rumah, cabul wanita

MOHD. Fadhli Mukhtar (tengah) semasa dibawa polis untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah pecah rumah dan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga jirannya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Fadhli Mukhtar, 52, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah untuk menyerang seorang wanita yang berusia 27 tahun secara seksual.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Fadhli didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga 10 atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di sebuah rumah di Salor di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 29 Jun lalu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan bahawa tertuduh melakukan kesalahan yang serius.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan satu jumlah ikat jamin atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×