KUALA LUMPUR: Datuk Suhaimi Sulaiman enggan menjawab sama ada beliau selepas ini akan kekal menjawat atau melepaskan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran.
Kata Suhaimi, beliau seronok melakukan tugas tersebut dan akan terus sedia berkhidmat selagi diperlukan.
“Bukan hak saya untuk menjawab soalan itu. Tapi begini, kalau masih ada perkara yang baik untuk kita kongsi, kita teruskan.
“Sekiranya sudah tidak ada lagi perkara yang bagus untuk dikongsikan, maka kita berehatlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Suhaimi mengulas mengenai gurauan netizen di platform X yang turut memetik tentang keperluan bekas wartawan penyiaran itu direhatkan susulan kontroversi membabitkan program Salam Baitullah.
Dalam pada itu, Suhaimi juga memaklumkan beliau gembira kerana masih berpeluang untuk berkhidmat.
“Saya seronok menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Penyiaran.
“Fikiran saya diguna untuk menghadapi krisis. Hasilkan berita ekonomi, politik, sukan, buat pula program hiburan dan sukan.
“Ini merupakan profesion menyeronokkan. Jadi saya amat gembira bekerja dengan orang-orang yang hebat di RTM. Saya bahagia di sini,” kongsinya.