KEMAMAN: Padah menggunakan kru warga asing, sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan empat nelayan warga Myanmar dan tekong tempatan, berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut ditahan menerusi Ops Iman, kira-kira pukul 11.18 pagi, pada kedudukan sekitar 20 batu nautika dari Kuala Kemaman.
“Ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan, didapati sebuah vesel tempatan, sedang menangkap ikan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas pemeriksaan dibuat, kita dapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan dan empat warga Myanmar yang mana kita syaki bot ini menggunakan kru asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ariffin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang warga Myanmar itu tiada permit lawatan kerja sementara daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurutnya, kesemua nelayan berusia 34 hingga 45 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut merampas kira-kira 400 kilogram hasil tangkapan serta diesel yang dianggarkan berjumlah 2,000 liter,” katanya.
Tegas Ariffin, pihaknya akan mempertingkatkan lagi rondaan bagi memastikan perairan di negeri ini sentiasa selamat dan komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. – UTUSAN










