Bon Samurai: Malaysia bayar RM192.1j faedah

Bon Samurai: Malaysia bayar RM192.1j faedah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia membelanjakan RM192.1 juta untuk bayaran faedah Bon Samurai sebanyak 200 bilion yen (RM7.3 bilion) yang diterbitkan pada Mac 2019 dengan tempoh 10 tahun.

Kementerian Kewangan berkata, jumlah faedah itu dibelanjakan kerajaan bagi tempoh antara September 2019 sehingga Mac tahun ini.

“Ringgit mula mengukuh berbanding yen pada Mac 2022 menyebabkan jumlah bayaran faedah Bon Samurai yang dibuat dalam tempoh Mac 2022 sehingga Mac lalu lebih rendah berbanding tempoh sebelumnya.

“Pengukuhan ringgit ini juga menjadikan jumlah hutang ini pada akhir Mac 2024 berkurang kepada RM6.26 bilion mengambil kira kadar tukaran RM3.1308 bagi setiap 100 yen,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam. 

Kementerian menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai status hutang Bon Samurai 200 bilion yen diterbitkan Malaysia serta jumlah pembayaran dibuat dan masih dihutang serta keuntungan tukaran wang asing atas penurunan nilai mata wang yen.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memenuhi obligasi bayaran faedah Bon Samurai sehingga hutang itu matang pada Mac 2029 berserta bayaran hutang prinsipal sebanyak 200 bilion yen pada hari sama.

Katanya, faedah Bon Samurai dibayar dua kali setahun iaitu pada setiap Mac dan September serta tertakluk kepada kadar tukaran pada hari transaksi.

“Terbitan Bon Samurai adalah kerjasama antara dua kerajaan bagi mengeratkan hubungan ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Jepun.

“Peluang ditawarkan kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai pada masa itu meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju destinasi pelaburan rantau ini, di samping mempelbagaikan asas pembiayaan Kerajaan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×