Bon Samurai: Hutang negara berkurang kepada RM6.26b

Bon Samurai: Hutang negara berkurang kepada RM6.26b

Anwar Ibrahim dalam Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hutang kerajaan Malaysia dengan Jepun melalui bon Samurai berkurang kepada RM6.26 bilion berbanding RM7.3 bilion (200 bilion yen) pada hujung Mac lalu disebabkan pe­ngukuhan ringgit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu mengambil kira kadar tukaran RM3.1308 bagi setiap 100 yen.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan ringgit yang mula mengukuh berban­ding yen menyebabkan jumlah bayaran faedah bon Samurai dibuat sejak Mac 2022 sehingga Mac tahun ini lebih rendah berbanding tempoh terdahulu.

“Pengukuhan ringgit juga menjadikan jumlah hutang ini pada akhir Mac 2024, berkurang kepada RM6.26 bilion dengan mengambil kira kadar tukaran RM3.1308 bagi setiap 100 yen,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan status hutang bon samurai (yen) seba­nyak 200 bilion yen (RM7.3 bilion) yang diterbitkan Malaysia pada 2019.

Beliau juga mahu tahu jumlah pembayaran dibuat dan baki hutang serta keuntungan tukaran wang asing atas penurunan nilai mata wang yen.

Kata Anwar, Kerajaan Persekutuan membuat terbitan bon Sa­murai bertempoh matang selama 10 tahun sebanyak 200 bilion yen atau RM7.3 bilion iaitu pada kadar tukaran RM3.6217 bagi setiap 100 yen, dengan faedah 0.53 peratus setahun.

Katanya, faedah bon Samurai dibayar dua kali setahun iaitu pada setiap Mac dan September serta tertakluk kepada kadar tukaran pada hari transaksi.

“Bagi tempoh September 2019 sehingga Mac 2024, kerajaan membelanjakan sebanyak RM192.1 juta untuk bayaran faedah.

“Kerajaan akan terus meme­nuhi obligasi bayaran faedah bon Samurai sehingga hutang ini matang pada Mac 2029 beserta bayaran hutang prinsipal seba­nyak 200 bilion yen pada hari yang sama,” katanya.

Bon Samurai adalah bon yang dikeluarkan oleh Jepun melalui jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) seba­nyak 200 bilion yen (RM7.3 bilion) dengan had tempoh matang selama 10 tahun dan kos keseluruhan bernilai 0.63 peratus setahun.

Bon itu juga adalah pelaburan hutang yang dipinjam oleh kerajaan Malaysia daripada Jepun dan perbincangannya dibuat semasa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertemu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semasa lawatan ke Jepun pada Jun 2018.

Bon Samurai adalah bon kerajaan jaminan JBIC terbesar dalam pasaran Jepun.

Mengulas lanjut, kata Anwar, terbitan bon Samurai adalah kerjasama antara dua kerajaan bagi mengeratkan hubungan ekonomi dan budaya Malaysia dan Jepun.

“Peluang yang ditawarkan kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai pada masa itu me­ningkatkan lagi kedudukan negara sebagai peneraju destinasi pelaburan rantau ini. Selain itu, ia juga mempelbagaikan asas pembiayaan kerajaan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan berpandangan sekarang adalah tempoh sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira angka inflasi yang rendah ketika ini.

Ketika ini, beliau memaklumkan, kadar inflasi bagi tahun ini berada antara 2 hingga 3.5 peratus dan julat unjuran yang besar itu mengambil kira beberapa kemungkinan kenaikan kadar inflasi yang boleh timbul, antaranya pelaksanaan penyasaran rasio­nalisasi subsidi bahan api ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×