KEMAMAN: Seekor beruang matahari jantan mati selepas dirempuh dua buah kenderaan di Kilometer 299 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kijal, kira-kira pukul 8.10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua buah kenderaan Toyota Alphard dan Honda Civic yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan tidak sempat mengelak haiwan liar itu yang tiba-tiba melintas jalan.
“Siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba seekor beruang melintas secara mengejut dari arah kiri ke kanan jalan.
“Berikutan jarak yang terlalu dekat, beruang tersebut dirempuh Toyota Alphard. Selepas dilanggar, beruang tersebut kemudiannya berlari cuba melintas jalan menyebabkan sebuah lagi kenderaan yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan terlanggar beruang itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hanyan berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang dewasa tersebut mengalami kecederaan di kepala.
“Ketika anggota Perhilitan tiba di lokasi kejadian, didapati beruang itu telah mati ekoran kecederaan di kepala akibat dilanggar.
“Bangkai beruang itu kemudiannya telah diambil untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










