Berjalan sejam setiap hari cari makanan

Berjalan sejam setiap hari cari makanan

TIADA apa yang tinggal di kawasan Khan Yunis selepas diserang oleh tentera Israel di Gaza, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Palestin di Gaza terpaksa berjalan jauh selama sejam dan menempuh jalan berliku demi mencari makanan ketika wilayah tersebut terus dibedil tentera Israel.

Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Semenanjung Gaza, Nurul Ain Haron berkata, keluarganya yang masih berada di sana termasuk rakyat Palestin yang lain terpaksa berjalan jauh untuk mencari makanan.

Menurutnya, harga makanan kini sudah melonjak naik lebih daripada kemampuan rakyat Palestin iaitu sehingga lima kali ganda, sekali gus memberi tekanan terutama bagi anak-anak yatim di sana.

“Sekarang ini kalau ada makanan, mereka makan tetapi kalau tidak akan tahan lapar. Macam keluarga saya, mereka akan makan sekali sehari memandangkan susah nak dapatkan bekalan kerana perlu berjalan jauh, bahkan ada hari yang terpaksa bermalam.

“Sekarang kebanyakan rak­yat Palestin hanya menunggu bantuan daripada luar dan kalau bekerja pun hanya dapat hanya sekitar RM200 lebih untuk dua ke tiga bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nurul Ain berkata, tempat-tempat berlindung rakyat Palestin tidak putus-putus diserang oleh Pa­sukan Pertahanan Israel (IDF) sehingga menyebabkan ramai yang terkorban.

Jelasnya, rakyat Palestin mula berlindung di dalam rumah mereka yang sudah separa musnah akibat serangan dilakukan oleh rejim Zionis.

“Separuh ada yang masih tinggal di dalam khemah, separuh lagi berlindung di rumah yang sudah pun rosak teruk kerana mereka rasa lebih selamat berteduh di dalam rumah sendiri walaupun keadaan amat daif.

“Ketika ini, Gaza berdepan musim panas dan duduk di bawah khemah dalam cuaca panas amat tidak selesa, terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas.

“Jadi rumah yang sudah separuh hancur itu mereka cuba perbaiki sikit demi sedikit se­perti lubang di dinding, mereka tutup menggunakan almari asalkan boleh dijadikan tempat berteduh,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×