KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 80, atas alasan isu berhubung kecergasan mental pemohon yang juga bekas Panglima Tentera Laut dalam menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya harus disiasat oleh hakim bicara.
Sehubungan itu, beliau mengeluarkan arahan supaya pertuduhan terhadap Ahmad Ramli dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian.
Ahmad Ramli Mohd. memfailkan notis usul untuk membatalkan dan membebaskannya daripada kesemua pertuduhan dihadapinya pada April lalu atas alasan tidak adil untuk beliau dibicarakan dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
“Mahkamah berpandangan bahawa isu kecergasan mental untuk dibicarakan dan membela diri perlu disiasat oleh hakim bicara yang pertama.
“Oleh itu, permohonan pemohon untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan ini ditolak dan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian,” kata Hakim Azhar.
PROSIDING KES
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong, manakala Ahmad Ramli yang dikecualikan kehadirannya di mahkamah diwakili peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Alex Tan Chie Siam dan Mohd. Yunos Shariff.
Sementara itu, anak perempuan pemohon, Rinnie Nor Ahmad Ramli, 50, dalam afidavit sokongannya menyatakan, setelah menjalani pemeriksaan perubatan, bapanya disahkan mengalami neurodegeneratif progresif yang konsisten dengan keadaan dementia bercampur sederhana (penyusutan dari segi kemampuan minda) dan tidak akan berupaya menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku semasa perbicaraan.
Selain itu, Rinie dalam afidavit sokongannya menyatakan bapanya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap soalan-soalan yang mungkin dikemukakan kepadanya selain tidak berupaya untuk mengingati peristiwa-peristiwa atau apa yang dibangkitkan semasa perbicaraan.
“Pemohon tidak berupaya untuk memberi arahan-arahan yang tepat dan berkesan kepada peguam-peguamnya dan wujud kemungkinan besar kesihatan pemohon akan terjejas akibat perbicaraan,” katanya dalam afidavit itu.
Rinnie berkata, bapanya juga mempunyai batu hempedu yang menyebabkan beliau sakit abdomen.
Disebabkan faktor usia, jelas Rinnie, pemohon menghadapi risiko besar jika melakukan apa-apa pembedahan untuk membuang pundi hempedu dan batu hempedu berkenaan.
AFIDAVIT BALASAN
Sementara itu, menerusi afidavit balasan difailkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan, hakim bicara tidak berpeluang untuk mengetahui keadaan kesihatan Ahmad Ramli kerana beliau hanya hadir ke mahkamah dua kali iaitu pada 16 Ogos 2022 sewaktu dituduh dan semasa sebutan kes pada 21 November 2022.
Pada tarikh-tarikh lain, peguam memohon agar tertuduh dikecualikan kehadirannya di mahkamah.
Dalam pada itu, Mahadi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, mahkamah menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan kes itu di mahkamah sesyen.
Pada 5 Februari lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Ahmad Ramli untuk menggugurkan tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.
Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.
Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.
Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun. – UTUSAN










