BUTTERWORTH : Seorang bekas eksekutif akaun dan pentadbiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM581,000 antara tahun 2022 hingga 2023 yang lalu.
Tertuduh, Fatin Atikah Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta syarikat iaitu cek berjumlah RM581,492.45 memindahkan wang terbabit ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara April 2022 sehingga Jun 2023.
Bagi kesemua kesalahan tersebut, ibu kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Mukmin Aimi Azmi.
Ahmad Mukmin kemudiannya memohon jaminan minimum daripada mahkamah susulan tertuduh perlu menyara anak-anaknya yang berusia antara empat hingga lapan tahun selain suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji pokok sebanyak RM1,500.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN










