Bayi hidap jantung berlubang perlu bantuan kewangan

Bayi hidap jantung berlubang perlu bantuan kewangan

MOHAMMAD Asri Sabri dan isteri, Nurul Amiza Md. Noor tabah menjaga anak mereka, Nur Afiyah yang didiagnosis menghidap penyakit jantung berlubang selain menderita akibat penyakit sumbing bibir dan lelangit di Kampung Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sepasang suami isteri tabah menjaga bayi perempuan mereka yang dikesan menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.

Bukan itu sahaja, Nur Afiyah Mohammad Asri yang berusia lima bulan juga didapati menderita akibat penyakit sumbing bibir dan lelangit yang memerlukan pembedahan segera.

Bapanya, Mohammad Asri Sabri, 31, berkata, disebabkan itu, beliau perlu membawa Nur Afiyah ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu untuk pemeriksaan.

Katanya, satu daripada dua lubang itu telah ditutup menerusi pembedahan ketika ini, namun, masih terdapat beberapa lubang kecil lain yang perlu diberikan perhatian.

“Setakat ini, doktor memaklumkan bahawa pemantauan rapi perlu dibuat bagi memastikan jantungnya dalam keadaan baik dan selepas beratnya meningkat, pembedahan untuk merawati penyakit sumbing bibir itu akan dilakukan.

“Ketika ini, selain berulang alik ke hospital, saya juga perlu tengok-tengokkan isteri, Nurul Amiza Md. Noor, 26, yang buta sejak lima tahun lalu akibat masalah saraf.

“Kerap kali juga saya tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak dan isteri, namun, mujurlah mertua dan saudara mara yang tinggal berhampiran banyak membantu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Tok Gelam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang bekerja sendiri dan memperolehi pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan berkata, perbelanjaan bulanan mencecah RM600 memandangkan Nur Afiyah memerlukan susu khas, vitamin selain lampin pakai buang.

“Itu belum termasuk perbelanjaan berulang-alik ke hospital dan saya terpaksa memohon bantuan ipar atau adik-beradik lain untuk menghantar kami untuk pemeriksaan susulan.

“Memang sukar memandangkan pendapatan yang diperoleh tidak menentu, namun syukurlah kerana isteri turut menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan (JKM),” katanya yang berhasrat memastikan berat badan anaknya itu meningkat agar pembedahan dapat disegerakan.

Dalam pada itu, ahli perniagaan, Chim Quan Long yang menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai kepada keluarga itu berkata, dia akan cuba memohon tambahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Keluarga ini memerlukan bantuan berterusan kerana penyakit bayi ini memerlukan pemantauan dan rawatan dalam jangka masa panjang. Jadi, saya akan cuba bantu mencari saluran bagi membolehkan menerima pertolongan yang diperlukan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohammad Asri di talian 014-7164552 atau terus menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam 07043020408101 atas nama Muhamad Ismail.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×