KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dipenjara 30 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol anak kandungnya sehingga melahirkan anak, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu hari ini setelah tertuduh yang berusia 45 tahun itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) yang ketika kejadian berumur 12 tahun di sebuah rumah di Dungun pada 2022.
Tertuduh turut didakwa mengulangi perbuatan itu ke atas mangsa di lokasi sama pada Oktober 2023 dan Januari 2024.
Tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan sehingga 30 tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (KK), jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman berasingan bermula tarikh ditangkap iaitu 21 Julai lalu.
Tertuduh bagaimanapun hanya dikenakan 24 sebatan maksimum mengikut peruntukan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










