PETALING JAYA: Baju rasmi kontinjen negara untuk pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris menjadi ilham untuk rakyat menghasilkan baju raya mereka pada tahun depan.
Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati rakyat terpikat dengan busana warna hijau zaitun itu dan berhasrat menjadikan rekaan pereka fesyen terkenal itu sebagai rujukan pakaian mereka kelak.
Burung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga itu direka oleh Rizman Ruzaini
Sementara itu, di media sosial pelbagai komen diberikan oleh orang ramai terhadap pakaian tersebut. Antaranya, Nayli Dania berkata, warna baju rasmi kontinjen itu amat sesuai dijadikan busana untuk satu Malaysia.
“Sedondon satu Malaysia nanti pakai warna ni raya tahun depan,” katanya.
Nadia Sofea juga mempunyai pendapat yang sama seperti rata-rata pengguna media sosial lain.
“Cantik betul tema ini untuk buat baju raya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berpandangan baju kontinjen itu tidak melambangkan Malaysia kerana tiada elemen budaya bangsa lain kecuali Melayu sahaja.
“Saya tidak nafikan rekaan pereka hebat Rizman Ruzaini ini memang cantik, kreatif dan bermakna. Apa yang saya bangkitkan ialah mengenai elemen perpaduan dan kemajmukan rakyat Malaysia, seiring semangat Malaysia Madani pada ketika ini.
“Jadi saya tanya, adakah ini menjadi kebanggaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh?” katanya di dalam satu kenyataan.
Tambahnya, beliau mahu nilai dan semangat sebenar rakyat Malaysia yang penuh kepelbagaian serta unik ditonjolkan terutama di pentas antarabangsa.
“Selain kebudayaan kaum Cina, India dan Orang Asli, usah dilupa juga elemen kebudayaan Sabah dan Sarawak yang lebih menarik jika dimasukkan dalam rekaan pakaian rasmi kontinjen Malaysia,” katanya. – UTUSAN










