SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah RM10,000 bagi menutup siasatan pekerja sebuah syarikat berhubung aktiviti kutipan derma tanpa permit, pada tahun lalu.
Tertuduh, Eddie Lau Lay Chuong membuat pengakuan demikian selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, Eddie Lau, 43, didakwa menerima suapan pada jumlah tersebut ketika bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya daripada seorang pemilik syarikat percetakan berusia 57 tahun.
Suapan tersebut dikatakan sebagai dorongan bagi menutup siasatan terhadap pekerja syarikatnya berkaitan Seksyen 32 (2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 yang dilakukan dekat rangkaian restoran kedai kopi terkemuka di Subang Jaya kira-kira pukul 4.18 petang pada 6 November 2023.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh yang kini bertugas di IPD Shah Alam itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Eddie Lau turut didakwa atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pengendali prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwan Nazari kemudian menawarkan ikat jamin terhadap Eddie Lau sebanyak RM15,000.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira mitigasi dikemukakan peguam, Syamil Mohd. Othman, hakim kemudian menetapkan ikat jamin dibenarkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Awang Kerisnada turut menetapkan tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri pada setiap awal bulan di pejabat SPRM yang berdekatan dan tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan kecuali pegawai penyiasat untuk tujuan rasmi. – UTUSAN










