JEMPOL: Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini mengarahkan lelaki yang membunuh ibunya sendiri di Bahau bulan lalu menjalani pemerhatian mental selama sebulan.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Norshazwani Ishak terhadap lelaki berusia 33 tahun itu, selepas pihak pendakwaan meminta tertuduh menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu sebelum sebarang pengakuan direkodkan.
“Memandangkan orang kena tuduh (OKT) ini disyaki tidak sempurna akal, pihak pendakwaan telah memohon di bawah Seksyen 342 kanun acara jenayah untuk OKT ini dihantar ke Hospital Permai terlebih dahulu untuk penilaian mental,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri.
Majistret kemudian mengarahkan tertuduh dihantar untuk penilaian Hospital Permai terlebih dahulu bagi memastikan sama ada terdapat masalah berkenaan.
Menurutnya, kes disebut semula pada 5 Ogos ini bagi mendapatkan status laporan penilaian mental tersebut.
Tertuduh bakal berhadapan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas ibunya berusia 63 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.55 pagi di sebuah taman perumahan di Bahau pada 25 Jun lalu. – UTUSAN










