Akta Anti Lompat parti perlu dibincang secara dwipartisan

Akta Anti Lompat parti perlu dibincang secara dwipartisan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Anti Lompat Parti (Akta A1663) perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah untuk mengusulkan pindaan terhadap akta itu.

Katanya, ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang dikatakan ada sesuatu yang tidak kena’ dengan akta tersebut.

“Sekarang kerajaan bersetuju nak tengok (pindaan) itu. Terpulanglah, tak ada masalah. Kalau Perdana Menteri arah saya dalam mesyuarat Kabinet untuk membawa nota dari segi dasar baharu pun tak ada masalah, saya bersedia,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Anwar berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam akta berkenaan.

Terdahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari pada 11 Julai menegaskan keputusan berhubung status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu kekal, menyebabkan pihak pembangkang keluar Dewan beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN