Ahmad Burhan Sadqi juara pertandingan pidato sektor awam - Utusan Malaysia

Ahmad Burhan Sadqi juara pertandingan pidato sektor awam

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalal (kanan) menyampaikan hadiah kepada Ahmad Burhan Sadqi A Rahim yang menjuarai pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Ahmad Burhan Sadqi A Rahim dari Majlis Daerah Besut muncul juara dalam pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau membawa pulang hadiah RM2,000 dan piala pusingan setelah menambat hati juri dengan pidato bertajuk ‘Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati’.

Naib juara pula menjadi milik Muhammad Sollehin Mohd. Shah dari Sekolah Rendah Islam Darul Iman Permaisuri yang membawa pulang hadiah RM1,500 dan piala hasil pidato bertajuk ‘Pimpinan Berintegriti, Negeri Diberkati’.

Guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Dungun iaitu Mohd Syafiq A Ghani, 33 pula memenangi tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang RM700 dan trofi pertandingan melalui pidato bertajuk ‘Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati’.

Seramai 32 penjawat awam dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan seluruh Terengganu menyertai pertandingan tersebut dari peringkat saringan pada 12 Jun yang lalu.

Hadiah kepada pemenang-pemenang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal.

Sementara itu, Tengku Farok Hussin ketika berucap merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan itu
berkata, selain dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan boleh dipraktikkan dalam sebarang urusan dengan pelanggan.

Menurutnya, pertandingan itu juga dapat memupuk rasa bangga serta cinta terhadap bahasa Melayu dalan kalangan peserta.

“Manfaatkanlah seni berpidato ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik, malah menjadi falah dalam membicarakan idea dan seharusnya menjadi instrumen untuk sebuah cita-cita besar dan impian yang disampaikan kepada masyarakat, bangsa dan negara.

“Rumusannya di sini, pidato adalah satu kemahiran yang datang dengan tanggungjawab dan penuh profesionalisme khususnya dalam amalan pentadbiran serta pengurusan pekerjaan kita pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN