Ahli perniagaan bebas tuduhan tipu kenalan RM1.25 juta Ahli perniagaan bebas tuduhan tipu kenalan RM1.25 juta

Ahli perniagaan bebas tuduhan tipu kenalan RM1.25 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menipu kenalannya berhubung urusan pembayaran tunggakan hutang cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM1.25 juta.

Hakim Datuk Anita Harun memutuskan untuk melepas dan membebaskan Datuk Seri Azraie Jamaludin, 47, di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

“Mahkamah mendengar keterangan daripada saksi-saksi serta meneliti dokumen-dokumen kes ini dan mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.

Seramai empat orang saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 19 Januari lalu.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Akmalzatul Mohamed Nawi manakala peguam bela, D. Yasinthra mewakili tertuduh.

Azraie sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Azraie didakwa telah menipu ahli perniagaan, Ahmad Rahimi Ahmad Fauzan dengan memperdayakannya bagi menyelesaikan urusan pembayaran tunggakan hutang cukai LHDN.

Ia telah menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1.25 juta melalui akaun bank milik tertuduh yang mana Ahmad Rahimi tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya.

Perbuatan itu dilakukan di antara 30 September 2021 sehingga 6 Januari 2022 di Jalan Bukit Kiara 1, Bukit Kiara di sini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×