ADUN Rembia sertai Pas

ADUN Rembia sertai Pas

DATUK Muhammad Jailani Khamis dari UMNO menjadi ahli Pas berkuat kuasa Jun tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dari UMNO menjadi ahli Pas berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan penyertaan Jailani adalah sebulan sebelum Akta Anti Lompat Parti dipinda di Melaka bertarikh 31 Julai 2023.

“Pada 10 Jun 2023, seorang ADUN di Melaka memohon untuk menjadi ahli Pas dan keahliannya diterima. Ketika itu belum ada Akta Anti Lompat Parti kerana ia dipinda sebulan sebelum permohonan dibuat.

“Ini bermakna di Dewan Undangan Negeri Melaka bukan ada dua pembangkang, tetapi ada tiga pembangkang termasuk Jailani,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Ditanya mengapa perkara tersebut diumumkan sekarang, Takiyuddin menyatakan ia adalah strategi parti itu.

“Itu strategi kita, ini adalah masa yang tepat dan tempat yang sesuai untuk kita umumkan. Semasa Parlimen membantah ruling, apabila enam ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) jelas meninggalkan prinsip  Bersatu, mengikut undang-undangnya, mereka terhenti daripada keahlian.

“Tetapi diputuskan tidak ada, kerusi mereka tidak dikosongkan. Di Melaka ini tidak ada undang-undang, maka jelaslah tidak boleh dikosongkan, ada undang-undang pun tidak dikosongkan,” katanya.

Untuk rekod, Persidangan DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.

Usul mengenai akta berkenaan dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan menetapkan setiap ADUN yang keluar daripada parti disertainya ketika pilihan raya, perlu mengosongkan kerusi dimenangi mereka.

Kata Takiyuddin, ini adalah pengumuman Pas kali pertama berhubung penyertaan Jailani selepas diterima pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, Jailani yang turut serta dalam pengumuman itu berkata, kemudahan yang diberi kepadanya sebelum ini telah dirampas, malah beliau juga tidak lagi diberi peruntukan seperti wakil rakyat kerajaan yang lain.

“Semua sudah dirampas lama, dengan pejabat semua dirampas, mereka menganggap saya ADUN kerajaan tetapi pun kena rampas juga.

“Yang enam orang ahli Parlimen itu dia pindah sebab peruntukan, saya pindah ke sini untuk susah bersama rakyat,” ujarnya.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO yang bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu.

Malah, sepanjang PRK Sungai Bakap, Muhammad Jailani dilihat semakin aktif turun berkempen di pentas-pentas ceramah PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN