MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengesahkan beliau menandatangani Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 pada 2021.
Bagaimanapun katanya, segala isi kandungan perjanjian yang ditandatangani itu biarlah UMNO yang umumkan kemudian.
Jelasnya, sejurus menerima watikah menjadi calon PRN Melaka segala perbelanjaan dan urusan sepanjang kempen adalah diuruskan oleh parti.
“Memang saya tidak menafikan sewaktu menjadi calon kita ada tandatangani aku janji tapi apa isi kandungannya biarlah pucuk pimpinan tertinggi parti yang umumkan kemudian.
“Kita sebenarnya perlu bersikap adil sebab bila mana kita jadi calon parti yang uruskan segala perbelanjaan dan segala urusan. Kita sepatutnya ada tanggungjawab itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Agihan Beras dan wang tunai kepada anak yatim serta golongan asnaf di Masjid Fat’hur Rahman, Pengkalan Rama di sini hari ini.
Seramai 47 anak yatim menerima wang tunai RM150 setiap seorang dan 50 golongan asnaf menerima sekampit beras 10 kilogram (kg) sumbangan G. Kongsi Rezeki (GKR).
Mohd. Helmi yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengemukakan dokumen perjanjian didakwa ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Menerusi video media sosial Asyraf Wajdi berkata, ADUN Rembia itu, telah menandatangani Perjanjian Perwakilan Calon BN sebelum PRN Melaka pada 2021, sama seperti semua calon BN lain pada pilihan raya negeri itu.
Beliau berkata, perjanjian ditandatangani Muhammad Jailani itu telah dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku saksi, serta telah dimatikan setem di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mengulas lanjut Mohd. Noor Helmy berkata, ini bukan masa yang sesuai bertikam lidah berhubung keputusan Muhammad Jailani menyertai Pas.
Sebaliknya kata beliau, masa semakin dekat kerana tumpuan utama adalah masanya menunaikan janji kepada rakyat selepas PRN Melaka yang lalu.
“Pada saya yang lompat parti apa boleh kita buat. Apa yang penting kita terus bekerja dan berkhidmat untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
“Rakyat akan menilai kita daripada hasil kerja kita bukan nak berperang sesama sendiri sebab tidak mendatangkan faedah langsung,” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani yang digantung UMNO, diterima menyertai parti itu pada 10 Jun 2023, sebelum akta anti lompat parti dikuatkuasakan di Melaka.
Khamis lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mendakwa Jailani harus membayar RM100 juta kerana melanggar perjanjian ketika dicalonkan pada PRN Melaka 2021. – UTUSAN










