NIBONG TEBAL: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Abidin Ismail, 56 mengambil kesempatan bertemu dengan ibunya, Che Refiah Zakaria, 79, sebelum membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri, Sungai Bakap di sini.
Abidin atau lebih mesra disapa sebagai Abang Abidin dilihat tiba di pekarangan sekolah tersebut kira-kira jam 8.13 pagi bagi menunaikan kewajipan sebagai pengundi.
Ibunya, Che Refiah pula antara pengundi yang terawal tiba di lokasi iaitu seawal pukul 8 pagi dengan ditemani oleh anak perempuannya iaitu kakak kepada Abidin, Zalina Ismail, 58.
Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.
Daripada jumlah itu, pemilih berdaftar bagi Pusat Mengundi SK Sungai Duri pula adalah seramai 5,745 orang.-UTUSAN










