20,000 dokumen asal sejarah hubungan Kedah dengan Pulau Pinang diteliti - Utusan Malaysia

20,000 dokumen asal sejarah hubungan Kedah dengan Pulau Pinang diteliti

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan pasukan penyelidiknya mempunyai 20,000 dokumen asal dari luar negara yang menjelaskan sejarah hubungan Kedah dan Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan menggunakan hasil kajian tersebut untuk menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara dua negeri ini bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membentang dan mengumumkan dapatan kajian tersebut selewat-lewatnya pada Disember ini.

“Saya memperoleh banyak dokumen. Saya difahamkan 20,000 dokumen sejarah. Kebanyakannya tentang laporan daripada negeri-negeri Selat kepada kerajaan British pada masa itu.

“Saya pun sudah teliti sikit dokumen-dokumen yang berkaitan yang ada di British Library dan British National Archive yang akan menjadi sebahagian daripada rujukan kepada kajian-kajian sedang dilakukan oleh negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kumpulan penyelidik melakukan kajian ini bukan hanya untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang, sebaliknya ia juga dilaksanakan demi menjelaskan hubungan antara dua negeri.

“Bukan semberono tetapi berdasarkan fakta dan dokumen sejarah yang ada. Kebanyakan laporan pentadbiran negeri-negeri Selat ketika itu dihantar kepada House of Common dan Straits Settlement Office di London,” katanya.

Beliau berkata, dapatan kajian pasukan pengkaji terdiri daripada sejarawan dan pakar perundangan itu diharapkan dapat mengemukakan secara berfakta ilmiah berdasarkan hakikat sebenar kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

“Isu ini lama sudah dan kita tidak pernah duduk diam, nanti mereka kata kita saja-saja hendak duit percuma (sedangkan) bukan. Saya hendak jadikan perkara yang kita ungkap sejak ratusan tahun lamanya sebagai fakta, akhirnya kita kumpul semua bahan dan (jelaskan) kedudukan secara berfakta,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN