16,850 kes kumulatif kebakaran terbuka - Utusan Malaysia

16,850 kes kumulatif kebakaran terbuka

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 16,850 kes kumulatif kebakaran terbuka di seluruh negara sejak 1 Januari sehingga hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,221 kes diikuti Kedah (2,054 kes), Kelantan (1,991 kes), Johor (1,658 kes) dan Terengganu (1,643 kes).

Menurut Nor Hisham, kes paling banyak dilaporkan pula membabitkan kebakaran belukar sebanyak 12,291 kes, 2,157 kes kebakaran tapak pelupusan sampah serta 2,050 kes kebakaran hutan dan kebun.

Katanya, jumlah kebakaran membimbangkan pihaknya setelah berlaku peningkatan mendadak di seluruh negara sejak empat hari lalu bermula 105 pada 25 Julai kepada 181, 158 dan 249 kes pada hari ini.

“Penduduk di negeri-negeri yang diramalkan mengalami cuaca panas melampau diseru tidak mengambil mudah dengan memulakan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan operasi JBPM.

“Kebakaran yang merebak di kawasan lapang memerlukan kerja-kerja pemadaman antara empat sehingga lima jam sehingga memaksa jentera tambahan dikeluarkan untuk memadam api.

“Apabila ini berlaku, respon kepada kes-kes kecemasan lain menjadi lambat kerana jentera telah dikerah di operasi pemadaman kebakaran terbuka, itu yang merisaukan,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Kejohanan Ragbi Bomba 10’s Piala Ketua Pengarah JBPM di Stadium Ragbi Sultan Muhammad Ismail di sini, hari ini.

Jelas beliau, JBPM kini memberi perhatian kepada risiko kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah sama ada lokasi haram atau pusat seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, jumlah kes kebakaran di lokasi berkenaan dilihat semakin bertambah sekaligus meningkatkan risiko pencemaran bacaan indeks udara kepada penduduk setempat.

“Penduduk di Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Sarawak khususnya perlu mengambil cakna perkara ini dan sama-sama mengurangkan risiko kes kebakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN