SUNGAI PETANI: Kira-kira 1,500 tan metrik sisa elektronik dan 100 tan metrik plastik terpakai disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) di dua buah kilang yang beroperasi secara haram di sebuah kawasan perindustrian di sini.
Dalam serbuan itu, JAS Kedah berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemeriksaan menemukan kira-kira 100 tan metrik material itu yang telah selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.
“Turut ditemukan adalah 20 bungkusan plastik terpakai yang belum diproses. Kita mengesyaki bahan plastik terpakai ini diproses untuk dijadikan pelet disebabkan rupanya seakan makanan ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di sini, hari ini.
Terdahulu, kilang memproses sisa elektronik yang terletak bersebelahan kilang kitar semula plastik berkenaan didapati baru beroperasi secara haram sejak dua bulan lalu.
Ketika serbuan, premis yang berkunci dari dalam itu didapati kosong tanpa sebarang pekerja walaupun peralatan seperti mesin pemprosesan dan jentera seakan-akan baru digunakan.
Dipercayai pekerja yang diupah memproses sisa elektronik itu sempat melarikan diri ketika diserbu JAS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kedua-dua kilang itu melakukan kesalahan kerana pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) dan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan lesen daripada JAS.
“Bagi penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127), premis telah disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS.
“Seksyen 34A akta sama pula kerana gagal mengemukakan Laporan EIA kepada JAS dan Seksyen 34B kerana menempatkan buangan
terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata, kementerian melalui JAS akan terus memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perindustrian termasuk kilang haram yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
“Berdasarkan rekod JAS, terdapat 3,526 premis daripada pelbagai sektor industri beroperasi di Kedah dan sehingga Jun lalu, JAS telah berjaya
menjalankan 544 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri di negeri ini dengan sebanyak 359 tindakan penguatkuasaan telah diambil,” katanya. -UTUSAN










