PETALING JAYA: Sebanyak 14 laluan di sekitar ibu negara ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi ini bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pada pukul 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
Laluan yang ditutup sementara melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tuanku Abdul Halim.
Selain itu, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana, Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah selatan), Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen.
Penutupan jalan secara sementara itu untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu diraja melalui laluan ditetapkan mengikut masa yang ditetapkan dan akan dibuka semula selepas kenamaan melaluinya.
Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilapor berkata, polis menempatkan sekurang-kurangnya 387 pegawai dan anggota polis bagi melaksanakan penugasan ditetapkan pada hari berkenaan.
Semua 387 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu-lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikut arahan-arahan anggota Polis Trafik yang bertugas di lokasi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-21159999.-UTUSAN











