Watak hantu? Memang tidak sama sekali - Fauziah Nawi

Watak hantu? Memang tidak sama sekali – Fauziah Nawi

FAUZIAH NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARANG sekali kita melihat kelibat seniwati hebat, Datuk Fauziah Nawi dalam naskhah seram. Ibaratnya, taman permainan aktres itu berlegar pada naskhah berat, beremosi dan meruntun jiwa.

Namun penampilannya sebagai Nek Minah dalam filem Saka Perawan membuatkan ramai tertanya-tanya, mengapa dia boleh bersetuju? Apatah lagi, dalam filem itu, dia membawakan watak komedi.

Jawablah mendapatkan pelakon legenda ini? Mengapa dia menolak melakonkan watak hantu? Adakah dia risau akan dicop sebagai pelakon tua yang menyeramkan? Ibu, Jawablah!

Ibu nampak makin susut berat badan. Adakah ibu dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan? Ada masalah kesihatan?

Alhamdulillah, ibu sihat sahaja. Tetapi ibu banyak berpuasa. Jadi, berat badan itu susut mendadak juga. Lagipun, ibu memang ada masalah lutut, jadi bila badan berat sangat, mahu buat aktiviti harian pun susah.

Lagipun, ibu ini kalau berbuka puasa mesti makan nasi. Kadang-kadang apabila ada kerja di luar, tiada nasi, jadi tidak selera sangat hendak makan. Mungkin sebab itu juga berat cepat turun. Tetapi tahap kesihatan ibu, Alhamdulillah.

Di usia emas ini, mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa ibu masih gigih bekerja? Ada sahaja naskhah baharu menampilkan ibu.

Cinta terhadap dunia lakonan semestinya. Ibu kalau tidak berlakon, rasa serba serbi tidak kena. Tetapi satu lagi, kalau tidak kerja siapa hendak beri duit? Ibu tidak mahu harap duit anak menantu.

Kenapa ibu hendak sibuk minta duit mereka pula?

Ibu boleh bekerja. Hendak beli barang sendiri. Kudrat masih ada, kesihatan juga baik. Tetapi ada syarat-syarat yang ibu letak juga sebelum setuju terima tawaran. Kita pun tahu kudrat diri sendiri.

Sebelum ini ada dakwaan mengatakan ibu menolak tawaran untuk melakonkan watak hantu? Memang itu antara pendirian ibu sebelum menerima tawaran terutama naskhah seram?

Ya, ibu memang tidak mahu. Kena jadi hantu pula itu. Nanti sekali ibu jadi hantu, ramai pula yang panggil untuk lakonkan watak begitu. Sebab itu, ibu tidak mahu. Lagipun, ibu ini takut hantu.

Tidak berlakon cerita hantu pun, ibu banyak kali terserempak dengan benda ghaib. Sebab itu, memang ibu tidak akan terima tawaran jadi hantu. Kalau naskhah seram pun, ibu tanya awal-awal karakter dan jalan ceritanya.

Macam mana ibu boleh terbuka hati terima watak Minah dalam filem Saka Perawan?

Ibu tanya dulu pengarah, Dr. Ahmad Idham, kena jadi hantu ke? Kalau ada, tidak mahulah. Tetapi Idham memahami. Dia pengarah yang bijak menggunakan masa dan menjaga kebajikan para pelakon.

Rasanya kebanyakan babak dilakonkan di siang hari walaupun kelihatan seperti malam. Paling lambat pun kami balik pukul 10 malam. Selalu 6 petang sudah selesai penggambaran, bagus begitu.

Pandangan ibu apabila ada yang cakap, apabila pelakon itu tua, auto watak hantu? Sudahlah bayaran pun ding dong ding dong kan?

Alhamdulillah, kalau soal bayaran saya tidak ada masalah. Tetapi memang tidak patutlah kalau ada yang lihat, asal pelakon tua, sesuai jadi hantu. Ibu memang tidak mahu. Kena burukkan muka lagi.

Sudah muka nampak tua, ini kena jadi hantu. Eh! Tak mahulah! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×