Visa mujamalah: Bakal jemaah diminta pilih syarikat PJH

Visa mujamalah: Bakal jemaah diminta pilih syarikat PJH

SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Rakyat Malaysia dinasihat memilih syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sekiranya berhasrat melaksanakan haji di bawah peruntukan kuota visa mujamalah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman meminta semua bakal jemaah yang mahu melaksanakan haji menggunakan visa tersebut agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan timbul isu termasuk penipuan atau cubaan manipulasi.

Selain itu, menurut beliau, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah yang menggunakan kuota visa mujamalah dapat menunai haji de­ngan lancar.

“Saya ingin menasihatkan bakal haji yang sudah atau ingin menunaikan haji supaya memilih syarikat pelancongan yang dilesenkan Tabung Haji dan digelar sebagai PJH.

“Ini kerana semua syarikat yang berdaftar dengan Tabung Haji telah disaring dengan teliti dan telus bagi memastikan mempunyai keupayaan kewangan selain rekod pengurusan jemaah yang baik serta berwibawa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Permohonan visa mujamalah tidak melibatkan Tabung Haji dan kuota boleh dipohon agensi umrah dan haji swasta dengan keputusan pengeluaran tertakluk kepada pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Pakej haji diuruskan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sepenuhnya dan agensi yang menerima kuota tersebut perlu memilih perkhidmatan pengurusan ground services daripada kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Tabung Haji diperuntukkan sebanyak 31,600 kuota visa rasmi untuk mereka yang berdaftar setiap tahun.

“Sesiapa yang memperoleh kuota rasmi ini akan memperoleh visa haji yang akan dikeluarkan pihak Kementerian Haji dan Umrah yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN