PETALING JAYA: Mekanisme digunapakai Universiti Sains Malaysia (USM) dalam mengurangkan beban tugasan pensyarah dengan melantik jawatan pembantu tenaga pengajar dan menggunakan khidmat mahasiswa boleh dijadikan contoh kepada institusi pengajian tinggi (IPT) lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, mekanisme itu sudah diamalkan USM sejak lebih 30 tahun lalu ketika beliau mula-mula menyertai IPT tersebut.
Katanya, langkah tersebut adalah untuk mengurangkan bebanan kerja pensyarah selain memberikan pengalaman kepada mahasiswa yang sedang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran untuk menjadi tutor.
“USM sejak sekian lama sudah mewujudkan jawatan pembantu pensyarah dipanggil guru yang dilantik bagi membantu daripada segi tutorial, penjagaan makmal.
“Kita juga menggunakan khidmat mahasiswa peringkat sarjana dan kedoktoran yang mendapat biasiswa untuk menjadi tutor selain penjagaan makmal serta membantu kerja penyeliaan antara enam hingga lapan jam seminggu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, pendekatan baharu sistem pendidikan di universiti serta teknologi terkini menambah beban kerja pensyarah dalam pengajaran.
Ekoran itu, katanya, lebih masa diperlukan dalam persediaan kuliah dan penilaian kerja kursus mahasiswa.
“Dalam hal ini, pihak universiti perlu mewujudkan jawatan penolong pensyarah bagi membantu pengajaran seperti mengendalikan tutorial dan amali.
“Ini termasuk melantik pascadoktoral bagi membantu penyelidikan dan sebahagian pengajaran,” katanya
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, USM juga melantik pakar perubatan untuk membantu pensyarah di bidang perubatan untuk membuat ujian klinikal dan sebagainya.
“Selain itu, penjagaan makmal di USM juga tidak hanya dilakukan oleh pensyarah secara sendirian sebaliknya secara berkumpulan supaya dapat mengurangkan bebanan mereka,” katanya. – UTUSAN










