GEORGE TOWN : Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya di persada global apabila naik enam anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027.
Pencapaian itu kini meletakkan USM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia selain mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian itu juga merupakan hasil komitmen kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi tersebut di peringkat antarabangsa.
“Peningkatan kedudukan ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa.
“Bagi saya, kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh warga universiti termasuk staf akademik, penyelidik, pelajar, alumni serta kakitangan sokongan yang sentiasa komited dalam memperkukuh reputasi USM di persada dunia,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, bagi edisi QS WUR 2027, sebanyak 8,808 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia telah dinilai berbanding hanya 8,467 institusi pada tahun sebelumnya dan daripada jumlah itu, hanya 1,504 institusi berjaya disenaraikan dalam ranking global.
Daripada sembilan indikator QS yang dinilai pula, USM berjaya mencatat peningkatan bagi lima indikator utama iaitu Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (IRN), Kelestarian (Sustainability), Nisbah Fakulti-Pelajar (Faculty-Student Ratio), Sitasi per Fakulti (Citations per Faculty), Fakulti Antarabangsa (International Faculty).
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, USM akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi melalui penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan strategik, pembangunan bakat global serta komitmen yang berterusan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari (SDG).
Dalam hal ini katanya, pencapaian tersebut bukan sekadar peningkatan dalam kedudukan ‘ranking’ antarabangsa, malah, mencerminkan keupayaan USM untuk terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, membina jaringan kolaborasi global yang kukuh serta melahirkan graduan yang mampu bersaing dan menyumbang di peringkat antarabangsa.
“Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, pencapaian ini turut memperlihatkan kekuatan dan kematangan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa universiti tempatan mampu bersaing dengan institusi terbaik dunia sambil terus menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi, kelestarian dan kemajuan negara,” katanya.-UTUSAN










