MEKAH: Peningkatan kos menunaikan haji yang mencecah RM40,000 seorang menyebabkan umat Islam Thailand tidak dapat memenuhi kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Kos tersebut meliputi keseluruhan termasuk penginapan, sajian, perubatan dan bayaran kepada pihak berwajib Arab Saudi.
Wakil Ketua Agama Islam Yala, Baba Abdul Baziz Chema berkata, jemaah haji negara itu tidak mendapat subsidi sebagaimana yang dinikmati oleh umat Islam Malaysia.
Beliau yang juga Penasihat Sheikhul Islam Thailand berkata, peningkatan kos itu sekali gus menyebabkan kuota haji untuk negara terbabit tidak dipenuhi sejak 10 tahun yang lalu.
“Kita mendapat lebih kurang 11,000 kuota tahun ini dan ia hanya diisi kira-kira 7,000 jemaah haji sahaja disebabkan kos yang tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dan kunjungan hormat ke atas Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman di sini semalam.
Baba Adul Baziz mengetuai delegasi Thailand yang terdiri daripada 11 wakil majlis agama Islam dan pelbagai agensi kerajaan serta pengurusan jemaah haji mengadakan kunjungan hormat di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.
Menurut beliau, masyarakat Islam di Thailand boleh memilih salah satu syarikat yang bertindak sebagai agensi yang akan menguruskan bakal jemaah haji sekiranya ingin menunaikan rukun Islam Kelima itu.
Sementara itu Syed Saleh memberitahu, delegasi Thailand turut dijemput menghadiri muzakarah haji yang diadakan setiap tahun sebagai perkongsian antara dua negara.
“Dalam perbincangan yang diadakan ini kita menyentuh beberapa aspek berkaitan urusan haji bagi kedua-dua negara.
“Kita lihat ada ruang dan peluang untuk kita bertukar-tukar pandangan serta pengalaman urusan haji setiap negara agar dapat dipertingkatkan prestasi serta kualiti perkhidmatan yang diberikan untuk jemaah haji negara masing-masing,”ujarnya. – UTUSAN










