UiTM kenal pasti 46 kursus diarus perdana sebagai TVET - Utusan Malaysia

UiTM kenal pasti 46 kursus diarus perdana sebagai TVET

UiTM TVET
RADUAN Che Rose bergambar bersama warga UiTM pada Majlis Korban dan Akikah Peringkat UiTM 2024 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenal pasti 46 kursus bagi diarusperdanakan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tawaran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, UiTM akan mewujudkan kursus TVET yang berkualiti dan disertai oleh lepasan sekolah atau SPM yang cemerlang.

“Kita mahukan TVET berkualiti, kita tidak mahu mengambil semua (pelajar) yang gagal. Kita mahukan TVET yang berkualiti, sekurang-kurangnya layak masuk universiti. Universiti, sama ada akademik atau TVET (itu jadi pilihan), TVET tidak boleh jadi kelas kedua,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Korban Perdana UiTM, hari ini.

Tambahnya, UiTM beriltizam untuk menjadikan TVET di universiti itu setara dengan kursus akademik yang menjadi pilihan atau rebutan lepasan SPM.

Jelas Raduan, ia selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadikan TVET sebagai kursus pilihan utama lepasan sekolah menengah.

“Pada peringkat ini Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM sedang mengenal pasti program-program separuh TVET yang kita akan TVETkan sepenuhnya dalam konteks untuk mengarusperdanakan TVET negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan UiTM menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pakar akademik dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengenal pasti punca keciciran sejumlah 10,500 calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan itu.

Katanya, ia adalah masalah nasional dan UiTM berperanan untuk mencari solusi bersama pihak berkepentingan bagi memastikan masa depan kelompok itu tidak terjejas.

“Sampai masanya kita (jawatan kuasa) akan memanggil media untuk sama-sama kongsi polisi intervensi yang perlu kerajaan buat.

“Kebanyakan yang tercicir adalah bumiputera, saya sebagai Pengerusi UiTM lebih suka kita angkat isu ini yang mana (menjadi) hakiki untuk meningkatkan sosio-ekonomi bumiputera dan orang Melayu. Lebih sesuai kita guna platform itu (UiTM),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN