PETALING JAYA: Polis hari ini memanggil beberapa individu lain lagi bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin selepas penahanan ibu bapanya pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara yang dipanggil hari ini adalah bekas pengasuh kepada kanak-kanak malang itu dan dua ahli keluarga kepada pengasuh itu.
Menurut beliau, tindakan memanggil kesemua individu ini adalah bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan.
“Kemungkinan akan panggil individu lain selepas ini adalah bergantung kepada soal siasat yang sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan polis merampas telefon bimbit ibu dan bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut.
Rampasan yang dilakukan adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan peguam yang mewakili ibu bapa kepada Zayn Rayyan berkata, pasangan berusia 28 tahun itu masih direman di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Kata beliau, kedua-dua mereka dilihat agak tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Penahanan pasangan yang masing-masing berusia 28 tahun itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada pukul 10.25 pagi Jumaat lalu dan perintah reman diperoleh semalam.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- UTUSAN










