KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh dikenakan hukuman dalam sebarang bentuk atau liabiliti secara bersama jika pelaku kesalahan buli diputuskan bersalah oleh Tribunal Bagi Antibuli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu selari dengan ketetapan dalam Akta Antibuli 2026 (Akta 876), bertujuan memastikan keluarga pelaku kes buli turut memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku moral dilakukan anak mereka.
“Akta 876 menampilkan kelainan berbanding kes jenayah biasa (yang meletakkan tanggungjawab hukuman dan liabiliti) ke atas pelaku sahaja. Akta ini meletakkan klausa tanggungjawab (terhadap ibu bapa pelaku) bagi isu terbabit dengan pembayaran denda dan sebagainya turut mengikat ahli keluarga pembuli.
“Kita transfer (memindahkan) liabiliti menjadikan joint liability (liabiliti bersama) kepada keluarga (pelaku),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tribunal Bagi Antibuli di sini semalam.
Katanya lagi, sebarang aduan berkaitan kes buli boleh difailkan secara terus kepada Tribunal bagi Antibuli tanpa membuat laporan polis terlebih dahulu.
“Pendekatan ini penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka serta memudahkan akses kepada sistem keadilan, selain orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan melalui platform berkenaan.
“Saya hendak tekankan, walaupun ada pejabat secara fizikal kita mahu menggalakkan masyarakat, terutama kanak-kanak melihat kepada ‘online registration’ (pemfailan aduan secara dalam talian) di dalam portal Tribunal bagi Antibuli,” katanya.
Pada masa yang sama, Presiden Tribunal Bagi Antibuli, Nurul Husna Awang dalam sesi Taklimat Pengenalan berkata, Seksyen 43 Akta 876 memperuntukkan pampasan maksimum RM250,000 kepada mangsa kes buli.
“Pelaku juga tertakluk kepada jenis perintah lain, sama ada permohonan maaf, hapus kandungan siber, bayar perbelanjaan munasabah, pampasan atau ganti rugi serta menghadiri sesi kaunseling.
“Prosiding tribunal juga dijalankan secara tertutup, sama ada secara fizikal, dalam talian atau hibrid dengan keseluruhan prosesnya mesra kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN










