SARANA Ibu Bapa ialah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diperkenalkan pada 2013 bagi menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dalam pembelajaran, pembangunan sahsiah serta kemenjadian murid.
Inisiatif ini ada dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 melalui Penglibatan Ibu Bapa dan Kerangka Penglibatan Sekolah. Ia kemudian digabung serta dijenamakan sebagai Inisiatif Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) pada 2019.
Maknanya, inisiatif pada 2013 itu tidak dihentikan sebaliknya diperluas, diperkemas dan diperkukuhkan selaras fasa transformasi PPPM.
Namun, selepas tempoh pelaksanaan PPPM berakhir pada 2025, timbul persoalan penting dalam kalangan ibu bapa, apakah kesinambungan PIBKS dan Sarana Ibu Bapa dalam lanskap pendidikan negara pasca 2025?

Jika aspirasi dalam PPPM boleh diperkasa menerusi PIBKS maka kesinambungan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta wajar dipertimbangkan oleh KPM bagi meneruskan penglibatan ketiga-tiga kelompok itu di sekolah menerusi edaran surat pekeliling baharu atau arahan bertulis lain.
Kumpulan Sarana diwujudkan bagi setiap kohort murid bermula tingkatan satu dan berfungsi sebagai kumpulan sokongan sehingga murid tamat tingkatan lima.
Ahli jawatankuasa (AJK) Sarana diterajui seorang ketua atau pengerusi, yang dilantik oleh ibu bapa melalui proses demokrasi yang mudah dan harmoni, bagi memastikan kepimpinan kumpulan berjalan lancar serta mendapat sokongan semua ahli.
Di sekolah juga diwujudkan kumpulan Sarana untuk setiap rumah sukan, blok, pasukan beruniform, gamelan serta pancaragam yang jelas menunjukkan peranan ibu bapa menyokong aktiviti kokurikulum dan pembinaan sahsiah murid.
Biasanya, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membariskan 10 hingga 15 AJK. Kumpulan Sarana Ibu Bapa pula mempunyai AJK hampir sama jumlahnya atau lebih.
Jika sebuah sekolah ada 10 kumpulan Sarana, maknanya ada sekitar 150 AJK dan hampir semua ibu bapa terlibat secara langsung membantu sekolah. Ini menunjukkan bahawa kumpulan Sarana berfungsi sebagai platform yang menggembleng sokongan ibu bapa secara menyeluruh.
Namun kumpulan Sarana tidak wajar dilihat menggantikan PIBG, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap strategik kepada struktur sedia ada. Ia berfungsi sebagai mekanisme sokongan pelaksanaan yang melengkapkan peranan PIBG yang lebih formal dan berteras tadbir urus.
Kumpulan itu bersifat lebih fleksibel, inklusif, menumpukan pelaksanaan serta sentiasa bersama sekolah.
Ringkasnya, PIBG terlibat soal dasar dan legitimasi manakala kumpulan Sarana sebagai pelaksana. Kerana keterangkuman ibu bapa itu, kumpulan Sarana boleh dipertimbangkan untuk diberi hala tuju lebih jelas dan menyeluruh.
Molek kalau diwujudkan buku rujukan (playbook) menggariskan peranannya. Namun, penglibatan mereka perlu berpaksikan prinsip keselamatan murid, kerahsiaan, etika dan akur untuk tidak melangkaui batas peranan profesional guru mahupun pentadbiran sekolah.
Prosedur yang jelas akan lebih mudah difahami dan dipatuhi. Kumpulan ini juga elok ada struktur hierarki atau carta organisasi supaya lebih efisien. Wajar juga jika ada kaedah bagi membimbing pengurusan kewangan dan perolehan bagi ketelusan transaksi.
Kelebihan kumpulan Sarana ketara apabila terdapat ibu bapa yang berlatar belakang pakar dan profesional. Kumpulan ini turut membuka ruang bagi ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menyumbang idea dan tenaga.
Dengan gabungan kepakaran dan komitmen ini, mereka mempunyai potensi signifikan untuk membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah.
Penglibatan mereka secara aktif mampu memberi impak tajam kepada sekolah dan murid menerusi input diberikan.
Apabila kumpulan Sarana membantu secara sukarela berpandu buku rujukan secara jelas, akan tampil pelbagai kreativiti dan nilai positif yang boleh dicontohi murid yang lazimnya turut dilibatkan dalam semua program. Ini satu proses interaksi, pembelajaran, pemindahan aspirasi, pendedahan serta pengurusan yang sangat bernilai untuk murid.
Justeru, KPM wajar mengiktiraf kumpulan Sarana sebagai platform komunikasi dan sokongan ibu bapa bagi membantu sekolah. Hubungan harmoni antara guru dan ibu bapa akan mewujudkan aura positif, diiringi doa dan restu mereka, insya-Allah membawa keberkatan kepada kecemerlangan anak.
Mengikut ketetapan PIBKS, kumpulan Sarana terkait rapat dengan penglibatan komuniti dan swasta. Dua kelompok ini sangat penting khusus menyalurkan sumber dana, kepakaran atau profesionalisme untuk menjayakan program sekolah.
Untuk itu, KPM perlu melihat bagaimana peranan ini boleh dinyatakan secara jelas dan diiktiraf. Insentif tertentu boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan peranan mereka bukan sekadar penyumbang dana tetapi rakan strategik sekolah dan pembangunan murid.
Ini boleh dilakukan menerusi perkongsian strategik sekolah-swasta-komuniti. Pihak swasta boleh memainkan peranan menaja program pembentukan sahsiah, kepemimpinan mahupun akademik manakala kumpulan Sarana bergabung dengan komuniti menjadi rakan pelaksana.
Pihak swasta juga boleh menyumbang melalui program pendedahan kerjaya, mentor, lawatan industri atau aktiviti kegiatan sekolah selepas peperiksaan (KSSP), bagi menghubungkan pembelajaran dengan dunia pekerjaan secara nyata.
Sokongan swasta juga boleh dalam bentuk kepakaran, fasiliti atau teknologi, yang boleh dimanfaatkan oleh guru panitia dan kumpulan Sarana untuk menyusun program kreatif, termasuk berkaitan dunia digital, bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
Sementara itu, penglibatan murid dengan komuniti seperti badan bukan kerajaan (NGO) akan menzahirkan kefahaman mereka mengenai realiti kehidupan bermasyarakat.
Ini suatu pendedahan, interaksi dan pengalaman penting dalam pembentukan sahsiah yang tidak ternilai untuk dibawa apabila mereka masuk ke dalam masyarakat kelak.
Dalam landskap pendidikan negara hari ini, kejayaan sesebuah sekolah tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pentadbiran, fasiliti serta guru semata-mata.
Kini sokongan boleh diberi khususnya pada ibu bapa sebagai rakan strategik sekolah bersama komuniti dan swasta untuk memainkan peranan lebih besar secara terancang dan berstruktur untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif, menyeluruh serta berimpak tinggi.
Perkumpulan ibu bapa ini hadir bersama sokongan komuniti dan swasta sebagai satu keperluan.
Mereka sangat relevan dan signifikan dalam menyumbang kepada pemerkasaan seluruh aspirasi dan dasar pendidikan negara (DPN) untuk melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani serta inteleknya.
Pemerkasaan ini dicadangkan secara rintis dan berperingkat di sekolah terpilih bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan, selain memastikan realisme pelaksanaan inisiatif dapat diperoleh.
Kejayaan inisiatif ini bergantung kepada asas kepercayaan, saling menghormati dan kefahaman peranan dalam kalangan semua pemegang taruh pendidikan. – UTUSAN
PENULIS adalah pengamal media dan penggiat gerakan komuniti.










