KUALA LUMPUR: Pelakon, Erysha Emyra, menasihatkan golongan isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga agar bersuara untuk mendapatkan pembelaan.
Katanya, dia tidak bersetuju apabila isteri hanya berdiam diri apabila didera suami seperti watak Aminah yang dilakonkannya menerusi drama Aku Bukan Ustazah.
“Jika melampau batas, kita kena beritahu orang yang kita percaya atau laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, anak kepada pelakon Noniswara itu juga terharu apabila drama lakonannya menjadi tular dan meraih pujian.
“Saya tidak sempat baca semua mesej yang dihantar di media sosial. Tapi melihat kepada respons penonton di TikTok, ramai yang mengatakan mereka boleh rasa apa yang Aminah rasakan.
“Mereka mengatakan pernah melalui fasa iman turun naik. Komen sebegitulah yang membuat saya terharu,” katanya.
Aku Bukan Ustazah menceritakan nasib seorang wanita yang didera suaminya, Adam. Dia kemudian bertekad mencari kehidupan sendiri dan menukar identiti.
Drama arahan Ayuna Zamani ini juga turut dijayakan MK-KClique, Zahiril Adzim, Shaza Bae dan Haneesya Hanee.










