'Tarif air Pulau Pinang tidak mungkin dikaji semula'

‘Tarif air Pulau Pinang tidak mungkin dikaji semula’

ZAIRIL Khir Johari (kanan) meninjau pameran mengenai projek adaptasi iklim berasaskan alam semulajadi Pulau Pinang di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tarif air di Pulau Pinang yang kini mengalami peningkatan berganda tidak mungkin akan dikaji semula walaupun pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri untuk berbuat demikian kerana ia dilihat seperti membebankan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana, seperti dijelaskan sebelum ini, penentuan tarif air adalah luar daripada bidang kuasa kerajaan negeri.

“Jadi, kalau nak timbang balik tarif air memang tidak mungkin berlaku. Saya pun dah sebut dalam dewan (sidang Dewan Undangan Negeri) di mana memang tarif air ni bukan ditetapkan oleh kerajaan negeri. Ia ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidamatan Air (SPAN) dengan kelulusan dari Kabinet.

“Apabila ditetapkan (tarif air), ia akan ditetapkan sehingga ia dikaji semula. Setiap tiga tahun akan ada kajian semula tarif tetapi tidak semestinya setiap tiga tahun itu ada peningkatan,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian projek adaptasi iklim berasaskan alam semulajadi Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari lalu di mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan 50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu iaitu sebanyak 22 sen.

Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan pula akan dikenakan RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu, berbanding kadar semasa masing-masing 46 dan 68 sen.

Susulan kenaikan tersebut, pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri agar mengkaji semula tarif air baharu berkenaan agar pengguna tidak terbeban dengan kenaikan bil air.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, kerajaan negeri juga tidak boleh mengumumkan tarif air dengan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan daripada SPAN.

“Kita tidak boleh umumkan tarif sewenang-wenangnya kerana ia bukan perkara yang berada di bawah bidang kuasa negeri. Jadi, soal kurangkan tarif air memang tidak mungkin berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan berbincang mengenai permohonan rebat kadar air kepada pengguna dalam mesyuarat Exco esok.

“Ada juga suara-suara minta rebat. Kita memang ada rebat air, tetapi, kalau nak tukar rebat pun perlu mendapat persetujuan SPAN.

“Jadi mungkin perkara ini akan dibincangkan oleh kerajaan negeri dengan lanjut dalam mesyuarat Exco (esok), sama ada kita akan pohon atau tidak (rebat) akan ditentukan dalam mesyuarat Exco,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN