Taman kitar semula SK Taman Suria meriah

Taman kitar semula SK Taman Suria meriah

GURU Penyelaras Kelestarian Sekolah Hasmiza Sabtu membawa murid-murid Tahun Satu belajar secara santai di laluan ecolife di SK Taman Suria, Johor Bahru di sini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria Johor Bahru seolah-olah berada di sebuah taman pendidikan yang menceriakan, segar dan berwarna warni.

Susun atur landskap yang menyejukkan mata menambah keceriaan murid-murid untuk beriadah sambil belajar mengenai alam sekitar, matematik, sains dan permainan yang berunsurkan pendidikan yang merangsang ketajaman berfikir.

Menariknya hiasan landskap dibina menggunakan barangan kitar semula yang diubah suai menjadi hiasan berbentuk pembelajaran di luar bilik darjah.

Maka tidak hairanlah SK Taman Suria banyak memenangi pertandingan kitar semula sehingga ke peringkat kebangsaan dan sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2023.

Pencapaian terbaik SK Taman Suria adalah hadiah utama Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Rendah(PERKISS) Peringkat Kebangsaan 2022.

Sekolah ini juga merupakan top 15 peringkat suku akhir 2023 World’s Best School Malaysia Chapter 2.0.

Lain-lain anugerah yang dicapai ialah johan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Jabatan Alam Sekitar 2021/2022, Anugerah Rakan Alam Sekitar Kluster Sekolah Hari Alam Sekitar Negara 2023, Johan Poster Pertandingan Kitar Semula Botol Kaca 2022/2023.

Memenangi Pingat Emas Pertandingan RCE Sustainable & Low Carbon School Exhibition 2023, Johan Kategori Organisasi Pertandingan KITARRecycle,Jom Raya 2023 dan ketiga Konvensyen Kementerian Pendidikan – Bank

Simpanan Nasional (BSN) Kebangsaan Suria Lestari Celik Kebangan 2023.

Guru Penyelaras Unit Kelestarian SK Taman Suria, Hasmiza Sabtu berkata, berkonsepkan guna semula barangan terpakai berjaya mendidik warga sekolah dan ibu bapa untuk bersama mempraktikkan amalan kelestarian serta kitar semula dalam kehidupan.

Selain itu, menurut Hasmiza, SK Taman Suria turut berhasrat mewujudkan ‘kem rimba’ di dalam sekolah bagi pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran murid di luar bilik darjah seterusnya menjadi pelancongan berasaskan pendidikan (Edu-Tourism) pertama di negara ini.

“Untuk mendidik murid-murid ini mengenai aktiviti alam sekitar memerlukan kesabaran kerana mereka masih kecil, jadi diwujudkan sudut bacaan di luar bilik darjah dalam suasana yang menceriakan.

“Murid-murid ini memang suka bermain, jadi kita jadikan sudut permainan berbentuk pendidikan agar mereka lebih bersemangat untuk belajar dan membaca,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Menurutnya sejak adanya sudut kelestarian ini, murid-murid bertambah semangat untuk belajar sambal dibantu oleh para guru.

SK Taman Suria turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) Negeri Johor serta memenangi kategori Sekolah Terbaik IMELC dan kategori kutipan minyak masak terpakai terbanyak ketika Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK), baru-baru ini.

“Sekolah ini juga memberikan nafas baharu kepada barangan terpakai sumbangan orang ramai, terutamanya buku, suratkhabar, barangan kaca, perhiasan terpakai, pakaian dan alat tulis.

“SK Taman Suria juga menjadi sekolah perintis bagi program ‘Kuru-Kuru’ sebagai salah satu inisiatif menerapkan pendidikan rendah karbon dalam kalangan murid,” jelasnya.

Sebahagian murid menyusun barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai di bilik ‘Kuru-Kuru’ di SK Taman Suria, Johor Bahru.

‘Kuru-Kuru’ merupakan budaya masyarakat Jepun di mana barangan masih boleh diguna pakai yang disumbangkan, diberikan kepada pihak lain sekali gus membantu mengurangkan pembuangan sisa pepejal.

Pendidikan yang ada di SK Taman Suria ialah Suria Recycle Day, bilik Kuru-Kuru Suria, kem rimba Suria, kebun Kelab Alam Sekitar, penternakan lebah kelulut, taman hidroponik, laluan Ecolife, tanaman cendawan tiram Suria.

Pengumpulan dan pelupusan Al-Quran serta naskah agama lusuh, taman herba, taman tayar, projek upcyclebotol sabun, tangka tadahan air hujan, laman lestari panitia dan permainan inovasi dam ecolife.

Guru besar

LAMAN interaktif yang menggunakan barangan kitar semula dijadikan mini taman untuk murid-murid beriadah sambil belajar secara santai di SK Taman Suria, Johor Bahru

Guru besar SK Taman Suria, Noorayu Jayus berkata, suasana keceriaan di sekolah ini memberi kekuatan untuk murid-murid belajar lebih cemerlang.

Justeru, dengan adanya taman pendidikan ini tahap pendidikan murid-murid bertambah baik dengan pencapaian yang amat cemerlang.

Menurut beliau, warga pendidik di sekolah ini banyak memainkan peranan dengan dibantu oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah yang sanggup membantu menjayakan projek kelestarian sekolah.

“Projek kelestarian sekolah ini berjaya mendidik murid-murid mengenali apa itu rendah karbon melalui pendidikan di sekolah.

“Kalau sebelum ini mereka tidak mengetahui rendah karbon dan barangan kitar semula, tetapi melalui pendidikan, murid-murid dari darjah satu hingga enam sudah mula mengetahui pengetahuan dan kesedaran amalan rendah karbon,” katanya.

Noorayu menambah, sejak adanya laman-laman lestari, murid-murid dapat mempelajari sesuatu yang boleh dibawa ke dalam kelas dan belajar dengan lebih focus.

Persekitaran sekolah yang ceria dapat membantu minda murid-murid belajar dengan lebih baik dan menaikkan motivasi ketika dalam kelas, katanya lagi.

“Terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), SWM Environment, SWCorp, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PIBG dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Tanpa kerjasama dan sumbangan dari mereka sudah tentu projek kelestarian taman pendidikan di sekolah ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN