Seorang bekas Guru Besar, Abd Manaf Mat, 60, bersyukur kerana syarikat Media Mulia menerbitkan semula Utusan Pelajar menerusi sisipan di Utusan Malaysia sambil menyifatkan usaha yang tepat untuk membantu Kementerian memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar semua kaum di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abd. Manaf yang bersara sebagai pendidik pada 10 Januari lalu menjelaskan penerbitan Utusan Pelajar cukup signifikan bagi mengasah kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar di samping sajian berita serta maklumat mengenai pendidikan termasuk aktiviti di sekolah.
“Seingat saya, Utusan Pelajar telah bermula penerbitan pada tahun 70-an dan saya ketika itu saya seorang murid sekolah rendah di Kampung Mela, Lipis melanggan setiap minggu di sebuah kedai buku di bandar Jerantut untuk menatap akhbar ini semata-mata untuk mengasah kemahiran kosa kata dan kemahiran mengarang semasa di kelas.
“Utusan Pelajar juga membantu kemahiran saya menulis karangan termasuk berita dan menghantar kepada editor akhbar ini seingat saya pada masa itu dikelolakan oleh pengarangnya, Mohamad Jusoh malah hasilnya beberapa kali karya saya disiarkan,” katanya yang menetap di Taman Inderapura, bandar Jerantut di sini baru-baru ini.
Menurut Abd Manaf bermula daripada akhbar tabloid pada awal 70-an, Utusan Pelajar kemudiannya selepas dua dekad menjadi sisipan akhbar Utusan Malaysia dan kemudiannya dihentikan beberapa kali penerbitannya serta ‘tenggelam timbul’ selepas tahun 90-an atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
“Hakikatnya, kemahiran saya menguasai bahasa Melayu menerusi pembacaan Utusan Pelajar selain diasah oleh guru semasa pembelajaran di kelas dan selepas itu saya menyambung latihan perguruan juga dalam pendidikan dan pengajaran bahasa Melayu di sebuah maktab,” katanya.
Abd Manaf menambah, penerbitan semula Utusan Pelajar mencetuskan fenomena baharu dalam bidang penerbitan syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. khususnya mendedahkan bahan bacaan untuk pelajar selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan menggerakkan program Pembelajaran Abad ke-21.
Dia yang merupakan pembaca tetap Utusan Melayu dan Utusan Malaysia sejak 45 tahun lalu berharap Utusan Pelajar terus mekar dengan sajian bahan yang terbaik serta menarik perhatian pelajar di seluruh negara.
“Walaupun Utusan Pelajar antara sisipan setiap hari Rabu, tetapi cukup bermakna untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan pendidik pada masa akan datang.
“Utusan Pelajar akan terus mewariskan serta pemantapan bahasa Melayu sebagai lingua franca menerusi pendidikan dan selepas ini akan memenuhi rak perpustakaan sekolah dan atas meja di rumah pembaca tegar,” katanya.
Ujarnya, sebagai bekas guru dan bapa kepada tujuh orang anak lelaki serta tujuh orang cucu, Utusan Pelajar dan Utusan Malaysia akan terus menjadi santapan jiwa ahli keluarganya untuk mengikuti setiap masa berita tempatan, alam pendidikan dan seluruh dunia.- UTUSAN










