Syor guna kereta recond jenamakan semula industri teksi

Syor guna kereta recond jenamakan semula industri teksi

INDUSTRI teksi dibimbangi semakin tenat jika tiada usaha dilakukan bagi menangani masalah dihadapi pemandu kenderaan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengenalan ke­­reta import terpakai atau recond antara cadangan untuk menjenamakan semula industri teksi negara yang semakin tenat ekoran pemandunya kekura­ngan sumber pendapatan sejak sektor ekonomi gig menjadi pesaingnya.

Jumlah pemandu teksi sehingga Disember 2023 menurun kepada 19,919 orang berbanding 22,710 pada Disember 2021 dan dibimbangi berterusan jika tiada usaha dilakukan bagi menangani masalah dihadapi mereka.

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain ber­kata, kerajaan dicadang memperkenal kenderaan import terpakai dalam industri teksi dengan jenama Malaysia Madani Yellow Cab dan Black Cab.

Katanya, Yellow Cab adalah teksi sedan tambang murah manakala Black Cab lebih eks­klu­sif dan khusus kepada penumpang yang mahukan perjalanan mewah.

Beliau berkata, harga sebuah kereta import terpakai itu bermula RM35,000 untuk Madani Yellow Cab dan RM68,000 bagi Madani Black Cab.

“Pengenalan kereta import terpakai dari Jepun, Korea dan Singapura dapat menoktahkan stigma kereta teksi tidak mencapai kepuasan pelanggan.

“Sebanyak 15,000 buah kereta tersebut dicadang digunakan di seluruh Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini pernah me­la­por­kan seramai 40,000 peman­du teksi di seluruh negara ber­de­pan dengan isu kekura­ngan sumber pendapatan sejak sektor ekonomi gig mula menjadi pesaingnya.

Keadaan itu dipercayai berlaku selepas pihak berkuasa didakwa gagal mengawal ke­rancakan sektor e-hailing dan p-hailing dalam negara.

Kamarudin berkata, GTSM sudah menyerahkan kertas cadangan penjenamaan semula industri teksi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beliau percaya perkhidmatan teksi di Malaysia tidak akan terkubur walaupun lambakan e-hailing muncul dan orang rama tetap memilih teksi sebagai pe­ngangkutan dalam bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN