PETALING JAYA: Selepas 24 jam memulakan misi larian sejauh 200 kilometer (km), Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul RM55,000.
Perkembangan itu dikongsikan beliau dalam satu hantaran di laman sosial.
Syed Saddiq yang memulakan larian sejak pukul 6.30 pagi semalam menyifatkan beliau hampir mengalami kekejangan kaki, namun tetap bersemangat selepas mendengar sorakan orang ramai.
“Dalam tempoh 24 jam, kita berjaya meraih RM55,000 untuk Muar. Saya berhutang kepada anda semua. Dari lubuk hati saya, terima kasih.
“Ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan. Dari yang tua ke yang muda. Berbilang bangsa dan agama,” kongsinya.
Terdahulu, larian sejauh 200 km yang bermula dari Jambatan Muar di Bentayan, Muar sehingga ke Parlimen itu dibuat sebagai tanda protes terhadap kerajaan memberikan peruntukan kepada Parlimen pembangkang.
Ia juga bagi mengumpul dana sebanyak RM100,000 bagi pelbagai kegunaan pusat khidmat rakyat Parlimen Muar termasuk membantu golongan veteran dengan keperluan seperti lampin pakai buang atau susu formula.-UTUSAN










